/dev: Pelan Hala Tuju Champion

Mike "Rogue Fool" Breese mempunyai kemas kini daripada pasukan Champion!

Para pemain yang saya sayangi,

Sayalah pereka champion yang saya harapkan masih anda sayangi Mike "RogueFool" Breese. Saya tercetus dengan idea untuk menulis kepada anda sebelum saya bertolak ke medan pertempuran. Saya terdengar khabar angin bahawa terdapat tikus wabak menjamah mereka yang tersimpang dari kumpulan, dan rakan seperjuangan yang tertidur sebelum hilang oleh hasil tangan trickster yang penuh dengan mimpi indah. Walaupun memikirkan untuk menjadi saksi kepada perbuatan magik dan keajaiban yang memutarbelitkan itu akan membuatkan sesiapa sahaja terjaga pada waktu malam, saya tahu kami mesti terus berusaha untuk menempa champion dan melepaskannya kepada musuh kami.

Pemimpin ekspedisi kami Alan Moore, dari kapal “The Wild Rift”, berjanji bahawa era ini akan mendorong kami ke had kami, dan ia telah tercapai. Sepanjang tahun lalu batalion saya telah mengeluarkan binatang-binatang paling menakutkan yang pernah anda lihat. Perjalanan kami bermula dengan seekor kucing yang terlalu suka berkepit—si kecil yang amatlah menjengkelkan. Tetapi tidak lama kemudian kami bertemu dengan Bloodharbor Ripper yang membunuh kami satu demi satu sambil menggumam tentang “suatu senarai”. Apabila semua harapan terasa hilang, kami bertemu dengan raksasa mayat hidup yang menghentam barisan kami dan menyelerakkan kami sehingga kami bertemu dengan seorang pemberani yang mencari keseronokan. Dari pandangan saya, dia kelihatan seperti mengambil berat tentang penampilan bergayanya hampir sebanyak melakukan tugasnya. Tetapi perjalanan ini bukan sahaja menakutkan, kerana kami juga bertemu dengan Karma, seorang pemimpin rohani yang berkuasa. Dia mengajar kami tentang kedamaian, dan beberapa helah baharu. Dia berjaya melindungi kami pada malam-malam yang gelap itu...dengan benda yang kelihatan seperti donat...saya tidak berani mempersoalkannya.

Walaupun kami bertemu dengan ramai wajah baharu tahun ini, saya masih ingat akan awal pagi yang berkabus itu apabila kami telah ternampak wajah-wajah lama. Saya dan skuadron saya sedang meninggalkan jungle, apabila saya terpijak sesuatu yang menyelubungi kami dalam kepulan asap ungu, dan kami mendengar ketawa demon. Terbatuk berjam-jam lamanya, kami terkejut apabila kami mendapati diri kami dikelilingi oleh sekumpulan syaitan kecil, naga kacukan, dan musang berekor sembilan yang licik…semua hantu dari masa lalu kami, tetapi dengan suatu sinaran yang baharu. Pertemuan itu merupakan peringatan kepada kami bahawa apabila Rift kami semakin matang, kadangkala kami perlu meneroka semula dan melawat semula pengembaraan masa lalu kami.

Di antara lolongan serigala, saya telah menemui satu detik damai untuk saya menulis kepada anda tentang rancangan kami untuk ekspedisi selebihnya buat tahun ini. Perjalanan kami membawa kami melalui rumah Darkin yang besar, dan seorang lagi lelaki yang bergelut untuk tidak hilang kawalan, dan walaupun ramai yang teruja dengan cabaran itu, ada yang tidak begitu berani dan sebaliknya ingin membawa sentuhan magik ke dalam jungle.

Apabila saya mula menulis surat ini, saya berkongsi beberapa khabar angin yang pernah saya dengar, tetapi rancangan daripada ketua ekspedisi Moore sudah pun bermula untuk ekspedisi kami yang seterusnya pada tahun 2023. Rancangan serangan kami menyatakan kami akan menuju ke bawah tanah ke jalan-jalan di Zaun yang kumuh, dan kapten berkata kami perlu bersedia untuk perkara yang tidak terjangka sepanjang ekspedisi itu. Selepas menyaksikan begitu banyak huru-hara dan kegelapan, saya mula berfikir bahawa burung-burung gagak ini sedang mengintip kami, tetapi mungkin saya hanya paranoid. Walau bagaimanapun, Kapten telah memberikan jaminan bahawa kami masih boleh menemui bibit-bibit kegembiraan dan keajaiban, walaupun kita tidak menjangkakannya.

Bisikan-bisikan yang telah saya dengar, bersama dengan perkara yang dikongsi kapten kami, tidak meliputi semua yang akan kami hadapi dalam perjalanan kami tahun hadapan. Terdapat banyak keseronokan yang dirancang, dan saya harap saya boleh duduk di sini dan menulis kepada anda semua tentang ketakutan-ketakutan dan kegembiraan-kegembiraan yang akan saya saksikan pada tahun seterusnya, tetapi saya mesti bersedia untuk perjalanan yang akan datang. Sebelum saya mengucapkan selamat tinggal kepada anda semua, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya buat pendakian semasa anda, dan saya berharap perkara yang kami bawakan kepada anda dalam 3.5 dari perjalanan terakhir kami akan membantu anda dalam perjalanan anda di dalam jungle. Teruskan menghantar klip anda, saya dan pasukan saya suka menonton klip tersebut di tepi unggun api. Selamat tinggal pemain-pemain yang saya sayangi, sehingga saya mempunyai lebih banyak kisah untuk dikongsi tentang pengembaraan kami.