Surat Pemain Tahunan Wild Rift
Wild = Inovasi
Memandangkan kami kian menghampiri penghujung tahun 2024, rasanya ini masa yang sesuai untuk kami melihat gambaran besar keadaan semasa Wild Rift dan menghadapkan farsight ward kami ke masa hadapan untuk melihat arah tuju kami. Selesakan diri anda kerana siaran ini akan menjadi teramat panjang, kerana kami berharap dapat membawa anda ke sebalik tabir dan menyelami falsafah dan prinsip reka bentuk kami. Ini juga merupakan kali pertama kami mencuba selam rinci sebegini, jadi sila hantarkan pendapat dan maklum balas anda kepada kami kerana kami ingin melakukan lebih banyak komunikasi sebegini pada masa hadapan.
Keadaan semasa kami
Kisah Wild Rift bermula dengan pelancaran yang besar, yang disebabkan oleh kekuatan IP League of Legends. Walau bagaimanapun, sejak masa itu, kami telah mempelajari banyak pelajaran sukar tentang perkara yang diperlukan untuk menjadi hebat dalam genre mudah alih:
Asas kualiti hidup seperti rangkaian dan log masuk
Jumlah kandungan untuk memenuhi platform dengan rentak yang lebih pantas
Jenis gameplay yang memenuhi kehendak peminat permainan mudah alih
Selepas pelancaran tersebut, kami mengalami tempoh kemerosotan yang menyaksikan kami bergelut untuk menangani cabaran di atas. Kemerosotan itu menakutkan tetapi juga memberikan gambaran yang sungguh jelas, kerana ini membantu kami mengutamakan perkara yang paling penting kepada anda semua. Antara memperhalusi peranan yang kurang dimainkan, mengurangkan kes terpencil yang merosakkan keseluruhan permainan atau melabur dalam "kandungan pertama ke Wild Rift" yang baharu, kami dapat menstabilkan keadaan dan mula berkembang semula.
Kami tidak mengambil mudah kestabilan dan pertumbuhan akhir-akhir ini. Inilah masa yang sesuai untuk Wild Rift mula membuat pertaruhan yang lebih besar dan bukan hanya bergantung pada kejayaan League of Legends yang telah dicuba dan diuji.
Masa Hadapan
Mempersiapkan diri kami untuk masa depan itu, pasukan akan bersatu untuk menangani objektif berikut:
Selesaikan isu pada peranti mudah alih yang menghalang penonton berpotensi daripada menyertai permainan
Temui penyelesaian kepada cabaran asas MOBA
Meningkatkan kualiti Matchmaking: Perosak permainan kompetitif
Bersedia untuk bertuah
Merentasi landskap permainan mudah alih, permainan yang telah mengalami kebangkitan semula selepas pelancaran dan menentang kitaran hayat produk yang tipikal mempunyai satu persamaan: permainan tersebut bersedia untuk memanfaatkan detik mereka... bertuah.
Tuah ialah hal yang berlaku apabila persediaan bertemu dengan peluang. - Seneca
Walaupun jarang berlaku, terdapat permainan yang telah mengalami kemerosotan dan kemudiannya secara tiba-tiba, melalui satu siri inovasi yang dilaksanakan dengan baik, melepasi kemuncak sebelumnya dan mencapai ufuk baharu.
Melihat hal itu sebagai teladan, selalunya kami dapat mengaitkan kejayaan ini dengan tindakan atau ciri. Walaupun itu pasti benar, terdapat satu prasyarat: permainan-permainan ini semuanya bersedia untuk meningkatkan pangkalan pemain mereka sebanyak 5x hingga 10x. Dengan kemasukan besar pemain baharu, permainan-permainan ini menyaksikan pengalaman muat turun yang lancar, orientasi yang bertimbang rasa dan dinamik sosial yang bertolak ansur yang mengalu-alukan semua pemain baharu ke dalam komuniti mereka. Mempunyai asas aplikasi mudah alih yang kukuh bermakna apabila permainan ini berkembang, mereka dapat memanfaatkan tuah mereka. Dari sudut pandangan kami hari ini, terdapat banyak lagi kerja yang masih perlu dilakukan sebelum Wild Rift bersedia untuk menjadi bertuah.
Menuju tahun 2025, objektif nombor satu kami adalah untuk menjadikan permainan Wild Rift lancar seperti mana-mana permainan mudah alih moden yang lain. Pengalaman anda mungkin berbeza-beza bergantung pada rantau anda, tetapi jangkakan kami membuat pelaburan dalam:
Log masuk & akaun
Muat turun & kemas kini
Rangkaian & kependaman
Pada masa ini terdapat cabaran dalam semua aspek ini yang secara drastik memanjangkan masa yang diperlukan antara detik seseorang pemain ingin terlibat dengan Wild Rift dan akhirnya dapat bermain dan berseronok. Kami menggelarkan perkara ini metrik ‘masa ke keseronokan’ kami. Ketika kami memendekkan ‘masa ke keseronokan’ ini, anda boleh jangkakan:
Log masuk yang lebih stabil
Masa muat turun yang lebih pendek
Isu crash dan kemas kini yang berkurangan
Kependaman yang lebih rendah
Membetulkan isu asas ini dan memendekkan “masa ke keseronokan” secara drastik akan mempunyai kesan transformatif bagi Wild Rift, dan menyediakan kami supaya mengambil lebih banyak peluang untuk berinovasi dan meletakkan diri kami dalam kedudukan yang lebih baik untuk menjadi bertuah.
Perihal MOBA semua ini
Salah satu teladan utama yang kami pelajari sejak penubuhan Wild Rift ialah jika kami hanya mengikuti perjalanan terbukti berkesan yang telah ditetapkan oleh League of Legends PC, kami akan mendedahkan permainan kami kepada sebahagian kecil khalayak sasaran yang berpotensi sahaja. Setiap permainan MOBA di pasaran sedang mencari evolusi seterusnya formula semasa dan sedang berlumba untuk melihat permainan yang akan menemukan hal itu dahulu.
Di Wild Rift, kami melihat MOBA sebagai genre yang sudah lama wujud dan sudah bersedia untuk menerima inovasi. Walaupun terdapat kelebihan semula jadi yang membantu permainan jenis ini kekal relevan selama lebih dua dekad, terdapat juga cabaran asas yang boleh menolak pemain.
Apakah yang menjadikan MOBA itu sesuatu yang menakjubkan?
Kebolehmainan semula tanpa had dengan setiap ciri baharu mempunyai interaksi dengan kandungan sedia ada yang hampir tidak terhingga
Pelbagai laluan dan ujian kemahiran yang boleh membawa kepada kelebihan atau kemenangan
Gameplay pasukan strategik yang mendalam
Perkembangan RPG dalam permainan yang diperkemas, gelung sifar kepada wira yang konsisten setiap permainan
Kekuatan semula jadi MOBA inilah perkara yang kami percaya telah mendorong jangka hayat genre itu menjangkaui lebih 20 tahun. Namun begitu, apabila genre baharu muncul dan cita rasa serta keperluan pemain berkembang, kami menemukan lebih banyak cabaran yang berusaha untuk menjatuhkan nilai yang dibawa oleh MOBA kepada pemain.
Apakah cabaran asas bagi MOBA?
- Syarat kemenangan hasil tambah sifar
Kemenangan anda, bermakna kekalahan saya sangat mengecewakan dan memberi tekanan, terutamanya apabila keputusan permainan bukanlah sesuatu yang boleh dijamin oleh seseorang pemain.
- Tidak bertoleransi terhadap jurang kemahiran dan masalah rantaian paling lemah
Walaupun penyelarasan pasukan sering menjadi aspirasi dan menakjubkan apabila berlaku, kepentingan hal ini juga bermakna bahawa seseorang pemain mampu menggagalkan rancangan seluruh pasukan. Mencuri petikan daripada siri Fallout “semua orang mahu menyelamatkan dunia, mereka hanya tidak bersetuju tentang caranya.”
- Kekurangan kemajuan di luar perkembangan kemahiran
Kecacatan semula jadi bagi kebanyakan permainan yang kompetitif ialah jika anda tidak menang, bukan sahaja anda tidak maju, anda secara aktif mundur dalam perjalanan ranked anda. Walaupun tekanan ini menambah nilai yang luar biasa kepada pencapaian akhir musim anda, tekanan ini juga menjana kebimbangan dan penurunan nilai semula jadi terhadap masa yang telah anda dedikasikan kepada permainan.
- 100% tumpuan, tidak bertoleransi terhadap gangguan
Cabaran yang lebih ketara pada telefon, yang selain menjadi peranti permainan anda, juga merupakan platform penghantaran makanan, platform media sosial, kalendar dan platform kehidupan anda. Meminta anda untuk mengabaikan dunia apabila menggunakan telefon anda adalah lebih sukar, apabila terdapat peluang yang tidak terhingga untuk kehidupan sebenar yang boleh terbit.
Bagaimanakah kami membetulkan masalah ini?
Melihat genre melalui senarai pro/kontra ini memberikan matlamat yang jelas untuk pasukan — Bagaimanakah kami mengekalkan perkara yang menjadikan MOBA menakjubkan, sambil menyelesaikan cabaran semula jadi genre itu secara kreatif? Untuk mencapai matlamat itu, berikut ialah bidang tumpuan kami:
- Mengekalkan dan mengembangkan pengalaman Summoner's Rift sedia ada
Akan sentiasa ada tempat dan keinginan untuk anda menguji kemahiran anda melalui pengalaman Summoner's Rift klasik. Inlah warisan yang menjadikan Wild Rift mengagumkan, dan kami tiada rancangan untuk membalikkan dan membuang semua ini. Jangkakan kami untuk sentiasa menala dan menambah baik pengalaman Summoner's Rift.
- Menginovasikan gelung gameplay baharu dengan pantas melalui mod permainan
Sehebat SR, kami tidak percaya mod itu adalah satu-satunya penjelmaan MOBA. Dengan itu, jangkakan kami meneroka pelbagai cara baharu untuk champion kegemaran anda berinteraksi dalam latar yang baharu. Hex ARAM dan Arena ialah contoh penerokaan ini, tetapi jangkakan Wild Rift menjadi lebih gila dari segi peta dan mod permainan pada masa hadapan. Kami juga akan menilai peluang untuk menaikkan mekanik tertentu daripada pengalaman baharu ini kepada pengalaman teras apabila kami percaya masanya tepat; jadi maklum balas anda sepanjang perjalanan itu adalah kritikal!
- Menakrifkan semula laluan kemajuan yang dikenali
Sama seperti gameplay SR klasik, kami akan sentiasa menganggap Peringkat Ranked sebagai sesuatu yang perlu dihormati dan berprestij. Kami cuma percaya bahawa perkara itu bukan satu-satunya usaha yang patut diraikan. Hal ini mungkin cabaran paling sukar untuk diatasi, tetapi keperluan yang mutlak kerana perkara ini akan menjadi asas yang menghubungkan semua pengalaman gameplay baharu ini menjadi sesi permainan yang bermakna. Jangkakan kami untuk menentukan cara matchmaking baharu, laluan kemajuan baharu dan ganjaran baharu yang mengiktiraf masa yang anda laburkan.
Mencuba untuk membentuk semula genre MOBA adalah satu usaha jangka panjang, memandangkan betapa asasnya beberapa isu ini. Tanpa mengira betapa mencabarnya hal ini, kami teruja untuk peluang menangani masalah tersebut, dan kami berharap anda akan bersama-sama di samping kami sepanjang perjalanan ini.
Matchmaking
Pertama sekali, kami tidak menghukum anda kerana menang.
Saya perlu mengatakan perkara ini; dan dengan itu, isu matchmaking masih tidak dapat dielakkan daripada menjadi topik perbincangan yang paling popular. Sejak hari pertama, matchmaking telah menjadi bidang pelaburan yang besar dan kami terus mengoptimumkan matchmaker itu selama ini. Namun begitu, topik ini masih hangat diperbincangkan. Mengapa?
Beberapa tahun dahulu, kami mengeluarkan artikel yang menyingkap di sebalik tabir matchmaking Wild Rift, yang membincangkan perbezaan antara membuat padanan antara Elo dengan Kemahiran. Selain matchmaker yang berkualiti, terdapat faktor lain yang akhirnya menyumbang kepada persepsi anda tentang permainan yang adil dan sama ada permainan itu berbaloi untuk dilaburkan masa dan tenaga anda.
- Faktor matchmaker
Bagaimanakah “Kemahiran” disukat
Bagaimanakah MMR berfungsi
- Faktor persepsi keadilan
Kepantasan mencari padanan perlawanan
Apakah kadar peningkatan kuasa, adakah kesilapan kecil berlipat ganda akibatnya
Bagaimanakah pengalaman Pendakian Ranked berfungsi, iaitu perkara yang berlaku selepas kemenangan/kekalahan
- Konteks daripada satu perlawanan ke perlawanan seterusnya
Adakah perlawanan itu sengit atau berat sebelah daripada laning hingga teamfight
Adakah anda memahami sebab anda menang atau kalah perlawanan tersebut
Matchmaking dan persepsi keadilan sepatutnya berkaitan tetapi tidak semestinya sama. Wild Rift sebagai MOBA berasaskan pasukan bermakna walaupun jika kami menggabungkan 10 pemain yang mempunyai bakat mekanikal yang serupa, pasukan yang mempunyai kombinasi dan penyelarasan pasukan yang lebih baik akan menang pada kebanyakan masa. Seperti yang berlaku, semua alatan kami untuk mengesan hal ini adalah berdasarkan keputusan permainan masa lalu dan prestasi individu, yang tidak mengukur prestasi kerjasama & penyelarasan pasukan secara khusus. Jadi pada asasnya, tahap pasukan anda dapat menyelaras selalunya akan berasa rawak.
Aspek intelektual bermain untuk pasukan atau sanggup berkorban demi pasukan selalunya merupakan kemahiran tersembunyi yang tidak cukup diraikan. Dan, sementara kami akan terus bertungkus-lumus cuba menjadikan permulaan setiap perlawanan mempunyai peluang kemenangan 50/50 yang sangat adil; kami percaya terdapat jalan lain yang boleh kami terokai juga untuk meningkatkan persepsi keseluruhan tentang keadilan. Lagipun… seperti kata Viktor “tiada hadiah untuk kesempurnaan... hanya pengakhiran pengejaran” dan kami jauh lagi dari pengakhiran tersebut.
Menalakan Matchmaker
Salah satu percubaan kami yang seterusnya adalah mencari keseimbangan antara matchmaking bagi seluruh pasukan berbanding dengan matchmaking bagi lane khusus anda. Semua orang pernah mengalami permainan yang mereka dominan di lane, membunuh lawan berbilang kali secara solo tetapi lane bersekutu masih bergelut. Dalam kes ini, walaupun secara teknikalnya, kemungkinan anda untuk menang masih berada pada 50%, pengalaman ini berasa tidak seimbang bagi ahli pasukan yang berbeza. Untuk tujuan itu, kami sedang mencari cara untuk meningkatkan berat yang kami letakkan pada matchmaking lane demi lane dan bukannya pada matchmaking keseluruhan. Dan memandangkan perbincangan kami sebelum ini tentang betapa banyaknya koordinasi pasukan mempengaruhi kemungkinan keseluruhan pasukan untuk menang, kami optimis tentang arah ini. Kami akan mula menguji matchmaker baharu ini di rantau yang berbeza dan akan melaporkan kembali kepada anda setelah kami mempunyai lebih banyak data.
Kepantasan Matchmaking dan Idea Wild yang lain
Bayangkan menunggu dalam barisan selama lebih tiga, lima atau sepuluh minit, hanya untuk permainan yang anda tunggu dengan sabar itu berakhir dengan cepat disebabkan oleh gank peringkat awal yang lemah atau perebutan dragon pertama yang dimainkan dengan salah. Walaupun terdapat kompromi antara kepantasan dengan ketepatan matchmaking, memandangkan betapa tidak menentunya komposisi dan koordinasi pasukan dari permainan ke permainan, kami lebih mengutamakan pencarian yang lebih pantas sebagai pilihan yang lebih baik untuk kebanyakan pemain. Namun begitu, masih akan wujud kes yang kami akan mengutamakan keadilan statistik dengan sengaja, seperti di Legendary Queue. Bagi kebanyakan kes lain, kami akan mengutamakan kepantasan dengan kesan kepada ketepatan seminimum yang mungkin.
Selain penambahbaikan asas ini, kami akan kembali ke tetapan minda bereksperimen, untuk mencari jalan menangani masalah matchmaking terkutuk ini. Contoh mungkinlah seperti:
Eksperimen terbaru kami dengan Galio's Aegis ialah cara untuk meletakkan lebih banyak kuasa memilih kembali ke tangan anda. Kami memahami betapa mengecewakannya apabila anda merasakan anda sudah melakukan semua yang anda boleh untuk membantu pasukan menang, tetapi masih tidak dapat maju dalam pendakian Ranked anda. Kami masih menghitung keberkesanan ujian beta ini dan akan melaporkan kembali kemudian dengan hasil ujian ini.
Bersandar kepada hakikat bahawa matchmaking tidak akan 100% adil. Apabila suatu pasukan yang kurang berpotensi untuk menang berjaya mengatasi kemungkinan itu, kami melakukan lebih daripada sekadar melaraskan MMR mereka dan sedang mencari beberapa cara yang lebih jelas untuk menunjukkan hal tersebut.
Mod permainan seperti Arena, dengan mekanik battle royale mod itu mengatasi sifat hasil tambah sifar MOBA dan memberikan definisi baharu untuk kemenangan.
Kesimpulannya, kami melihat matchmaking sebagai salah satu penyekat teras untuk kami berinovasi dalam masalah asas MOBA; oleh itu, kami akan melaburkan sumber untuk mencari penyelesaian yang berkesan bagi masalah tersebut. Malangnya, tiada jalan yang mudah dan kami akan mengambil masa untuk mencari penyelesaian baharu.
Jika anda telah berjaya membaca sejauh ini, terima kasih! Kami berterima kasih atas sokongan yang anda semua tunjukkan kepada kami. Kewujudan anda di samping kami menjadikan usaha yang kami lakukan jauh lebih bermakna dan kami tidak sabar untuk melihat perkara yang akan berlaku pada masa hadapan.
Jumpa anda semua di Rift!