/dev: E-Sukan Wild Rift
Hai semua, saya Leo Faria, ketua e-Sukan Wild Rift. Saya gembira dapat berkongsi visi dan rancangan e-sukan kami dengan anda, jadi jom terus mula!
KENAPA ADA E-SUKAN WILD RIFT?
Sejak sedekad yang lalu, kami telah membina ekosistem e-sukan yang berjaya untuk e-sukan LoL. Mungkin anda jangkakan yang kami akan membina ekosistem baharu untuk permainan video kami yang lain, tapi sebenarnya tak semudah itu. Membina e-sukan Wild Rift merupakan keputusan yang mengambil masa yang lama dan pertimbangan, jadi saya percaya kami perlu menjelaskan sebabnya.
Salah satu peranan penting e-sukan bagi mana-mana permainan video adalah untuk mewujudkan inspirasi untuk bermain. Konsep yang pemain biasa menonton permainan pemain pro dan terfikir, “mungkin saya boleh buat macam itu juga” — sama seperti orang ramai mengagumi olahragawan profesional. Anda nampak seseorang buat sesuatu yang hebat, kemudian terus bersemangat untuk berbuat perkara sama. Kami tak rasa pemain WR mudah dapat inspirasi daripada menonton permainan pro LoL PC, sebab kedua-dua permainan ini tak sama, dan sebahagian besar pemain WR menggunakan telefon sebagai alat permainan video utama mereka.
Tambahan pula, bagi kami, pemain WR sama penting dengan pemain PC LoL. Kami sedang membina ekosistem e-sukan baharu yang bersokongan sendiri dan tak bersandarkan e-sukan LoL pada PC. Terdapat banyak perkara yang boleh dipelajari dan dimanfaatkan daripada ekosistem League of Legends yang lebih luas, tapi kami daripada Riot Games tak anggap e-sukan Wild Rift sebagai pintu masuk ke e-sukan LoL. Menjadi Juara Dunia Wild Rift sepatutnya terasa sama hebat dan berprestij seperti menjadi Juara Dunia LoL. Memperoleh kemenangan dalam Wild Rift ialah matlamat utama.
Kami perhatikan terdapat minat yang tinggi untuk e-sukan Wild Rift. Sejak kami mengumumkan permainan ini pada tahun 2019, para influencer, pasukan pro, rakan kongsi dan media sering bertanya sama ada kami akan membuat e-sukan untuk Wild Rift dan bagaimana mereka boleh menyertainya. Kalau kami tak buat, maka terpadamlah semangat persaingan yang berkobar-kobar dalam komuniti ini.
Atas semua sebab ini, kami akan berusaha sedaya upaya untuk e-Sukan Wild Rift dan betul-betul komited untuk menjayakannya. Kami ingin membayangkan semula definisi e-sukan mudah alih yang hebat, jadi anda boleh nantikan daya pengeluaran, kreativiti dan operasi yang tertinggi daripada Riot dalam usaha terbaru ni.
BAGAIMANA KAMI AKAN LAKUKAN PERKARA INI?
Perlu ditekankan di sini, terdapat perbezaan ketara antara tanggapan terhadap e-sukan mudah alih di seluruh dunia. Di kebanyakan negara-negara Asia, e-sukan mudah alih adalah popular dan merupakan salah satu jenis e-sukan yang paling berjaya, tapi kami ingin mencapai tahap yang lebih tinggi lagi. Kami bercita-cita untuk menjadikan Wild Rift sebagai e-sukan mudah alih pertama yang benar-benar bersifat global, memasuki pasaran di seluruh pelosok dunia. Kami akan berbuat demikian dengan membuat pelaburan besar di rantau barat, seperti benua Amerika, Eropah dan Timur Tengah. Kami juga akan membawa pertandingan global ke lokasi yang tak begitu menonjol di seluruh dunia. Sudah tentu, seperti permainan video ini sendiri, kami akan bertindak pantas dan agresif di pasaran yang dikuasai mudah alih seperti China dan Asia Tenggara, dengan permintaan serantaunya yang tinggi.
Pada asasnya, membina e-sukan mudah alih global perlu mementingkan kawasan yang ramai pemain. Kami tak menganggap e-sukan mudah alih sebagai matlamat masa depan semata-mata, tapi sebagai usaha pada masa sekarang. Kami juga yakin dan komited dengan usaha ini secara jangka panjang, membina sukan untuk generasi akan datang.
Apabila kami memikirkan cara membina sukan ini, terdapat dua bahagian yang perlu dipertimbangkan: esukan sebagai pengalaman penonton dan e-sukan sebagai pengalaman peserta. Di Riot Games, kami mengharapkan semua permainan kami menyeronokkan semasa bermain, tapi ada yang lebih seronok apabila ditonton berbanding yang lain. Begitu juga dengan sukan tradisional. Kami percaya bahawa Wild Rift dapat menyampaikan detik risiko tinggi yang menjadikan pengalaman menonton sesuatu sukan itu seronok. Pertarungan pasukan yang gempak, Baron steal yang licik, backdoor yang mengagumkan—ini semua perkara hebat yang membuatkan Wild Rift berkelajuan tinggi, menarik hati dan menghiburkan bagi para penonton.
Kami bermula dengan menumpukan usaha kami terhadap Wild Rift pada tahap pemain profesional. Salah satu perkara yang kami pelajari sejak bertahun-tahun ini, adalah bahawa sesuatu sukan memerlukan kestabilan untuk berjaya. Organisasi-organisasi perlu yakin bahawa akan sentiasa terdapat pertandingan untuk disertai dan e-sukan Wild Rift akan berkekalan. Ini akan membolehkan mereka komited terhadap pembinaan pasukan yang kukuh dan akhirnya menjadikan kerjaya pemain profesional suatu kegiatan yang menarik dan penuh bermakna. Itulah matlamat kami. Kemampanan adalah penting untuk membangunkan profesionalisme. Akhirnya, kami akan melaburkan lebih banyak tenaga terhadap pertandingan akar umbi yang kecil-kecilan, tetapi kami ingin memastikan pemain kami mempunyai tahap persaingan kemuncak dahulu.
Kami juga sedang berusaha memastikan pengalaman menonton e-sukan pada telefon lebih menyenangkan. Pada masa ini, e-sukan tidak dioptimumkan untuk tontonan pada skrin kecil walaupun lebih 40% penonton berbuat demikian. Membina pengalaman tontonan mudah alih yang hebat adalah amat penting untuk Wild Rift kerana kebanyakan penonton Wild Rift memiliki telefon mudah alih sebagai alat utama atau satu-satunya alat mereka. Ini bermakna mereka bukan sahaja bermain permainan video ini pada telefon mereka, tetapi juga menonton sukan itu pada peranti yang sama. Jika e-sukan mudah alih akan mentransformasikan industri, kami ingin memastikan pengalaman penonton berkembang seiring dengannya.
Membina e-sukan mudah alih ialah usaha baharu bagi kami dan banyak yang boleh dipelajari. Kami yakin dengan visi kami yang kuat, tapi memang perlu juga diperakui bahawa masa diperlukan untuk mencapai visi ini. Kami baru sahaja bermula. Saya tidak sabar untuk berkongsi selanjutnya tentang perkembangan kami. Sementara itu, nantikan pertandingan di rantau anda dan berita lanjut pada tahun ini!