Perubahan Ranked Patch 7.2

Kami sedang membuat pelarasan kepada Ranked pada Patch 7.2

TLDR; Kami akan menambah baik kemajuan, matchmaking dan integriti kompetitif dalam mod ranked mulai Patch 7.2 

Hei semua,

Jika anda belum lagi, pastikan anda tonton episod terbaharu Pratonton Patch kami, yang mengandungi perbincangan tentang masa hadapan Ranked dalam Wild Rift serta beberapa perubahan yang akan datang pada Patch seterusnya.

Jika anda menyertai kami dari video itu, selamat datang! Artikel ini bertujuan untuk mendalami dengan lebih lanjut matlamat di sebalik perubahan tersebut, masalah yang kami cuba selesaikan dan perkara yang anda boleh jangkakan ketika kami terus menambah baik pengalaman Ranked. Seperti yang disebutkan dalam video, kami tahu bahawa Ranked merupakan topik nombor satu yang paling kerap anda utarakan kepada kami. Sama ada berkaitan dengan queue matchmaking, rentetan kekalahan atau rasa kecewa apabila prestasi hebat tidak terasa dihargai dengan sewajarnya, kami tahu pengalaman-pengalaman ini boleh membuatkan pendakian terasa kurang memuaskan daripada sepatutnya. Sebab itulah kami telah membuat penambahbaikan kecil sepanjang enam bulan lepas, seperti mengurangkan masa menunggu dalam queue, tetapi kami sedar masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Itulah sebabnya, sepanjang tahun hadapan, fokus kami adalah mudah: Cipta pengalaman Ranked yang lebih memuaskan apabila anda menang, kurang mengecewakan apabila anda kalah dan lebih mencerminkan sumbangan individu anda. 

Patch 7.2: Mengiktiraf Impak Anda 

Salah satu kekecewaan paling biasa yang kami dengar ialah: “Saya bermain dengan baik, tetapi tetap kalah.” Walaupun Fortitude Ranked, juga dikenali sebagai Tenaga Hextech, pada asalnya diperkenalkan untuk mengurangkan rasa kecewa apabila kalah, ramai dalam kalangan anda telah memberitahu kami bahawa sistem ini tidak jelas menunjukkan cara prestasi mempengaruhi kemajuan anda. Itulah sebabnya kami akan melancarkan pendekatan baharu pada patch yang akan datang ini. 

Sistem Tenaga Ranked Baharu 

Pada patch ini, kami akan menggantikan sistem Fortitude Ranked semasa dengan sistem Tenaga Ranked yang baharu. Markah Ranked anda akan dipengaruhi oleh:

  • Prestasi individu dalam permainan
  • Kelakuan permainan yang positif
  • Pampasan sistem untuk pengalaman negatif, seperti autolengkap atau rakan sepasukan yang mengganggu

Dengan sistem baharu ini, selepas setiap perlawanan yang anda mainkan, Markah Ranked anda akan ditukar kepada ganjaran kemajuan Ranked. Matlamat kami dengan ini adalah untuk mewujudkan hubungan yang lebih jelas antara usaha anda dalam permainan dan kemajuan anda pada ladder. Jadi, semakin hebat prestasi anda, semakin pantas anda akan maju sepanjang pendakian anda. Jangan risau, kemenangan akan tetap sentiasa penting, tetapi kami juga mahu memastikan permainan cemerlang turut diiktiraf dalam sistem baharu ini. Itulah sebabnya kami juga telah membuat pelarasan berikut kepada sistem baharu ini: 

  • Prestasi cemerlang boleh memberikan kemajuan tambahan selepas kemenangan.
  • Prestasi luar biasa dalam kekalahan mungkin akan mengurangkan atau bahkan menghapuskan kehilangan kemajuan secara ketara.
  • Permainan yang mantap dan konsisten akan membantu pemain mencapai rank yang sepatutnya dengan lebih efisien.

Sebagai penjelasan, kami tidak akan membuang mekanik sedia ada seperti Rising Star atau Galio’s Aegis. Sebaliknya, kami hanya menggabungkan semuanya ke dalam satu sistem yang lebih mudah difahami dan akan memberikan maklum balas yang lebih bermakna untuk anda pada penghujung setiap permainan. 

Memandang ke Masa Hadapan: Patch 7.3 dan Seterusnya 

Bagi jangka masa panjang, kami mahu keseluruhan ekosistem kemajuan di sekitar Ranked terasa lebih berbaloi dan mudah difahami. Kami tahu perubahan ini akan mengambil masa lebih daripada satu patch untuk dilaksanakan, jadi anda akan melihat kami terus berusaha dalam aspek ini sepanjang beberapa patch yang akan datang. Perkara seterusnya yang pasukan kami sedang perhatikan ialah kewujudan sebilangan mata wang, sistem kemajuan dan trek ganjaran yang akan kami usahakan untuk dipermudahkan. Kami juga sedang mencari cara untuk memberi anda semua lebih banyak ganjaran atas kemajuan dan honor anda, supaya anda boleh menonjolkan pencapaian anda melebihi sekadar berkongsi rank semasa. Kami akan terus memantau maklum balas anda dan menyemak data sebaik sahaja Patch 7.2 dilancarkan, serta membuat penambahbaikan kepada rank dalam beberapa Patch yang akan datang. 

Terima kasih atas Maklum Balas anda 

Segala yang kami kongsikan hari ini dalam video dan artikel ini didorong oleh perbualan yang telah kami jalankan bersama dengan anda semua serta maklum balas yang telah anda berikan. Semua maklum balas anda akan terus membentuk masa hadapan Ranked Wild Rift dan kami tidak sabar untuk berbual lebih lanjut dengan anda semua sambil kami terus membuat pelarasan. Jumpa anda di Rift!