Memperkenalkan Program Rakan Kongsi Wild Rift
TL;DR: Kami secara rasmi melancarkan program rakan kongsi baharu untuk Wild Rift yang akan menawarkan manfaat unik dan sokongan lebih baik kepada para pencipta.
Tahun lalu, kami telah berkongsi bahawa kami sedang mengembangkan Program Rakan Kongsi kami supaya kami dapat menyokong pencipta kandungan untuk semua permainan kami, dan bahawa League of Legends, Teamfight Tactics serta VALORANT telah memasuki program ujian beta. Kami teruja untuk berkongsi bahawa tidak lama lagi Wild Rift juga akan menyertai senarai itu!
Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap pencipta Wild Rift atas dedikasi, kreativiti dan semangat yang telah mereka tunjukkan kepada Wild Rift selama ini. Kami amat berterima kasih dan program ini tidak mungkin dapat dibangunkan tanpa sokongan serta maklum balas berterusan daripada anda.
Mulai 19 Mei, anda akan menerima e-mel yang akan memaklumkan senarai manfaat baharu yang akan ditawarkan kepada semua pencipta dalam program ini. Hal ini merangkumi gelaran khas dalam permainan, akaun yang diaktifkan, kod hadiah percuma dan banyak lagi. Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan mencuba faedah dan ciri tambahan berdasarkan maklum balas pencipta. Matlamat utama kami adalah untuk memahami dan menyampaikan perkara yang memberi impak kepada pencipta Wild Rift, jadi kami teruja untuk melihat program kami berkembang dan berubah demi memenuhi keperluan mereka.
Bagaimanakah saya boleh menyertai program ini?
Walaupun permohonan untuk program Wild Rift belum dibuka, kami berminat untuk mendengar daripada Pemain Wild Rift yang bersemangat dan kreatif yang ingin menghasilkan video, cosplay, laman web, pertandingan dan banyak lagi bagi komuniti Wild Rift.
Apakah yang telah berlaku kepada program lama? Adakah ini berbeza?
Program Rakan Kongsi Wild Rift yang dilancarkan hari ini ialah evolusi sesuatu yang telah anda saksikan sebelum ini. Perubahan yang kami lakukan akan memperkenalkan manfaat baharu yang lebih baik untuk pencipta, serta membolehkan kami memberikan lebih banyak sokongan keseluruhan kepada pencipta.
Saya telah menerima jemputan kepada Program Rakan Kongsi. Jemputan itu menyatakan bahawa ia adalah daripada Riot–bagaimanakah saya boleh mengesahkan jika hal ini penipuan atau jemputan rasmi?
Kami tahu bahawa terdapat percubaan baru-baru ini oleh pihak berniat jahat untuk mendapatkan maklumat akaun daripada para pencipta dengan menyamar sebagai program Riot rasmi. Pencipta yang dijemput untuk mengambil bahagian dalam beta ini akan menerima e-mel daripada alamat e-mel “riotgames.com” atau “mail.creators.riotgames.com”. Jika anda menerima e-mel daripada mana-mana syarikat atau laman web lain, itu bukan daripada Riot. Ambil maklum bahawa Riot TIDAK akan meminta kata laluan anda, atau menghubungi anda melalui Discord atau mesej teks dengan pautan untuk membuat permohonan.
Jika saya sudah pun menyertai Program Wild Rift semasa, adakah saya dijamin untuk menyertai program ini?
Walaupun kami menjemput ramai rakan kongsi legasi kami, sudah lama sejak kami mengemas kini senarai pencipta. Sepanjang tempoh itu, segelintir pencipta telah beralih daripada Wild Rift, mengubah fokus mereka atau berhenti mencipta kandungan sama sekali. Sesetengah pencipta tersebut tidak akan menerima jemputan ke program baharu ini kerana kami memberi tumpuan untuk membawa orang yang memacu komuniti kami ke hadapan setiap hari.