E-Sukan Wild Rift Menambah Coca-Cola sebagai Rakan Pengasas Sedunia
E-Sukan Wild Rift memulakan musim kompetitif rasmi pertamanya dalam tahun 2022
Riot Games dan Coca-Cola® hari ini bersama-sama mengumumkan perkongsian perintis berbilang tahun yang merupakan pertama seumpamanya dalam permainan mudah alih dan e-sukan. Perjanjian itu menggabungkan League of Legends: Wild Rift dan E-Sukan Wild Rift, antara francais permainan mudah alih dan e-sukan paling pesat berkembang, dengan Coca-Cola, dan memberi peluang kepada jenama tersebut untuk menjalinkan hubungan dengan pemain dan peminat secara bermakna.
“Kami tahu bahawa permainan mudah alih ialah bahagian penting dalam masa hadapan permainan dan kami teruja untuk bekerjasama dengan peneraju yang menyepadukan sukan dan hiburan, iaitu Riot Games”, kata Brad Ross, Naib Presiden Global, Aset, Influencer & Perkongsian, The Coca-Cola Company. “Coca-Cola merupakan rakan kongsi awal E-sukan League of Legends dan kami mengetahui secara langsung kuasa permainan untuk menyatukan orang dari seluruh dunia dalam persaingan dan fandom. Coca-Cola berfungsi sebagai sekutu para pemain - menaikkan semangat dan menyegarkan pemain serta peminat.”
E-Sukan Wild Rift, e-sukan mudah alih pertama daripada Riot Games, telah melancarkan musim kompetitif rasmi pertamanya dalam tahun 2022, diserlahkan dengan penubuhan lapan rantau dan satu finale musim global. Pasukan di seluruh dunia akan bersaing dalam pertandingan serantau untuk melayakkan diri ke pertandingan antarabangsa pertama Wild Rift, Wild Rift Icons Global Championship, yang akan berlangsung pada musim panas ini. Tarikh dan lokasi finale ini akan diumumkan kemudian.
Coca-Cola, sebagai rakan pengasas sedunia, akan mencipta bersama pengalaman peminat yang unik untuk League of Legends: Wild Rift dan juga E-Sukan Wild Rift. Jenama itu juga akan menumpukan usaha untuk mencipta nilai buat komuniti melalui akses kepada ganjaran dan pengalaman tersuai, termasuk siri kandungan mingguan yang dicipta bersama Wild Rift untuk menaikkan semangat, menghiburkan dan menyokong peminat. Pelaksanaan pertama perkongsian itu boleh dilihat dalam kempen digital baru-baru ini daripada Coca-Cola, bertajuk “It Must Be Real’, menampilkan adegan daripada E-Sukan Wild Rift.
Ini bukan kali pertama Coca-Cola bekerjasama dengan Riot Games untuk membawa peluang baharu dan menyeronokkan kepada para pemain. Dari tahun 2014-2016, Coca-Cola telah bekerjasama dengan League of Legends untuk World Championship dan telah mencipta pengalaman menonton tersuai dengan barangan koleksi yang sangat diidamkan di berbilang negara melalui kerjasama pawagam.
“Coca-Cola telah membantu melancarkan E-sukan League of Legends yang kini telah menjadi e-sukan terbesar di planet ini, jadi saya sangat gembira kerana mereka juga dapat melihat masa hadapan dalam E-Sukan Wild Rift,” kata Leo Faria, Ketua Global E-Sukan Wild Rift, Riot Games. “Perkongsian ini akan merentasi lebih daripada 100 negara, termasuk lapan liga serantau yang berfungsi sebagai asas untuk sukan kami.”
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Coca-Cola bagi meningkatkan pengalaman bermain Wild Rift di mana sahaja anda berada di dunia,” kata Alan Moore, Penerbit Eksekutif League of Legends: Wild Rift, Riot Games. “Menerima sokongan mereka sambil kami terus menambah ciri dan kandungan baharu pada Wild Rift akan mencipta kemungkinan baharu di dalam dan luar permainan."
“Kami percaya magik sebenar wujud apabila manusia berhubung - baik dalam dunia fizikal mahupun digital - apabila rakan-rakan berkumpul untuk menikmati detik yang menggembirakan,” kata Selman Careaga, Presiden Global, Coca-Cola Trademark, The Coca-Cola Company. “Kami teruja untuk bekerjasama rapat dengan pasukan di Wild Rift untuk membawa kandungan dan pengalaman baharu kepada lebih ramai peminat di seluruh dunia dalam beberapa bulan dan tahun yang akan datang.”