/dev: Membina Semula Thresh dan Viego Yang Tak Kesampaian

Seperti hidup di Runeterra sekarang, membangunkan League datang dengan banyak kejutan dan cabaran. Berikut ialah dua kisah sebalik tabir tentang membawa Thresh dan Viego ke Wild Rift.

Hai semua, ini Mirross dan Draggles.

Apabila bercakap tentang champion, kami berusaha untuk berterus-terang dengan anda berkaitan usaha yang sedang dilakukan. Kadangkala, ini bermaksud kami dapat mengumumkan tambahan baru kepada barisan champion atau berkongsi beberapa kisah sebalik tabir mengenai kawalan dan reka bentuk. Kali ini, kami hendak buat sesuatu yang berlainan. Kami nak kongsikan beberapa kisah apabila kami menghadapi kesukaran ketika pembangunan, serta menerangkan makna cabaran tersebut untuk dua champion Shadow Isles: Thresh dan Viego.


THRESH, THE CHAIN WARDEN

071621-Thresh-Inline.jpg

Seperti yang kami umumkan dalam /dev diary Patch 2.4, dalam Wild Rift, Thresh asas mempunyai daging.

Sebelum kita berbicara tentang penampilan barunya ini—kenapa hendak memperkenalkan Thresh kepada permainan ini sama sekali? Secara asasnya, cara permainan Thresh adalah ikonik. Dia salah satu champion League yang paling popular dan resonan, dengan kit yang unik dan berketerampilan tinggi, dan temanya yang gelap, suram tetapi masih gembira menonjol dalam kalangan barisan sokongan. Sejak tahun 2019 lagi, kami dah tahu kami harus memperkenalkan Thresh ke Wild Rift; ia bukannya soal "jika", tetapi "bila" dan "bagaimana".

Salah satu aspirasi lain kami adalah untuk membawa pengalaman bermain League kepada seberapa banyak pemain yang kami dapat yang meliputi semua platform dan rantau baru. Anda mungkin dah nampak beberapa perubahan yang telah kami buat pada reka bentuk champion dan skin supaya sesuai dengan standard 2021 dalam dunia yang selalu berubah-ubah ini. Situasi Thresh adalah sedikit berbeza; dan sejujurnya, membawa Chain Warden ini ke mudah alih ialah usaha yang sukar bagi pasukan kami.

Untuk memenuhi kehendak platform mudah alih Wild Rift, dan agar kami dapat mengekalkan penilaian usia sekarang (ini penting kerana kami ingin memastikan pemain dari hampir semua peringkat usia dapat bermain Wild Rift), kami perlu membuat beberapa penyesuaian terhadap reka bentuk sedia ada Thresh.

LOLWR_ThreshIngame.jpg

Namun begitu, kami bertekad untuk tidak hanya sekadar menukar asetnya sahaja. Ketika kami sedang dalam perancangan untuk event Sentinels of Light, kami melihat peluang besar untuk melampaui sekadar satu kemas kini visual. Kami tak mahu mendedahkan apa-apa lagi, tetapi Thresh "Unbound" mewakili satu bab rasmi kisah Thresh yang akan anda ketahui tidak lama lagi.

Kami tak sabar nak lihat kekacauan dan siksaan yang akan dibawa oleh Chain Warden kepada Wild Rift apabila dia tiba pada bulan Ogos.


VIEGO, THE RUINED KING

071621-ViegoSplash-Inline.jpg

Mengenai Ruined King pula, Viego tidak akan tiba di Wild Rift (untuk masa ini).

Sejak permainan mengayun pedang dan menukar jiwa Viego muncul di League PC, kami dah jatuh cinta dengan gaya... permainannya yang langsung tidak dapat dilupakan. Viego ialah champion yang cukup kompleks dari segi mekanikal, apatah lagi dari segi teknikalnya!

Wild Rift sudah bertahun dibangunkan, bahkan sebelum Ruined King terlintas pun dalam minda pasukan reka bentuk PC. Semasa kami membangunkan sistem asas untuk ability champion, kami mula-mula sekali mengutamakan teknologi tambahan untuk champion bertukar bentuk seperti Shyvana dan champion berevolusi seperti Kai'Sa atau Kha'Zix.

Pasif League PC Viego, Sovereign’s Domination, dan ultimatenya, Heartbreaker, membenarkannya merasuk badan musuh yang telah dia bunuh, membolehkan penggunaan ability musuhnya dengan percuma dan teleport serta-merta ke backline musuh. Ini boleh menyebabkan perlawanan berbolak-balik iaitu apabila Viego menggunakan seluruh senjata pasukan musuh untuk menamatkan pertempuran pasukan dengan sendiri.

071621-ViegoIngame-inline.jpg

Viego di League PC

Malangnya, dengan kerumitan mekanikal Viego ini, kami sedar bahawa kami tidak akan dapat menyiapkannya sehingga boleh berjalan dengan lancar mengikut garis masa semasa kami. Perkara terakhir yang kami mahukan adalah untuk melepaskan Viego hanya untuk melumpuhkannya berulang kali demi memperbaiki interaksi teknikal dengan setiap champion lain. Pada masa yang sama, kami akan melepaskan lebih ramai champion baru di Wild Rift dalam tahun 2021 dan 2022! Oleh itu, kami membuat keputusan yang sangat lewat dalam pembangunannya untuk membekukan pelepasannya buat masa ini.

Ini sangat mengecewakan, dan kami sangat sedih kerana terpaksa berbuat demikian, tetapi kami fikir ia adalah yang terbaik untuk kesihatan permainan serta pasukan kami. Kami berhasrat untuk melepaskan Viego suatu hari setelah memantapkan teknologi sokongan kami, kerana permainannya sangat menarik dan dia menjadi watak yang semakin penting untuk plot keseluruhan Runeterra. Viego mewakili tonggak kejayaan pasukan kami iaitu apabila infrastruktur asas kami dapat menangani tahap kerumitannya—kami memang berniat untuk membuat dan melepaskan Viego di kemudian hari, menganggapnya sebagai tahap kecemerlangan yang perlu kami capai dari segi keupayaan pembangunan kami.

Kenapalah orang jahat yang boleh mencuri ability sering menimbulkan masalah terbesar?


Sejujurnya: ramai daripada anda yang mungkin tidak bersetuju dengan keputusan kami ini. Pasukan kami sendiri telah mengambil masa yang lama (dan telah berbahas dengan penuh semangat) untuk memastikan kami dah puas memeriksa semua kemungkinan sebelum mengambil keputusan ini. Kami ingin bersikap jujur dan menunjukkan beberapa pemikiran kami terhadap kedua pengacau ini sebelum anda dapat menyentuh Thresh secara langsung (ew) bulan depan. Sementara itu, semoga berjaya menentang Ruination!